Sabtu, 24 Desember 2016

Kia Ora North Island New Zealand Pt 1

Kia Ora North Island New Zealand Pt 1 - Sampai di Auckland Kebanyakan orang akan pergi ke Pulau Selatan atau kedua-duanya sekali tapi kami cuma ke Pulau Utara. Bajet yang ciput dan cuti yang singkat mengehadkan perjalanan kami sekeluarga. Tak apalah mungkin boleh jadi alasan untuk ke sana lagi di lain hari. Mana tau.  Untuk trip kali ini hotel dah di booking seawal tiga bulan lagi. Masa itu kadar tukaran dalam lingkungan RM2.80 bagi setiap ringgit. Tapi bila kami di sana kadar tukaran dah naik mencanak hingga RM3.10.  Jika kita buat tempahan melalui booking.com, bayaran tidak dipotong melalui kad kredit tapi semasa kita check in di hotel dan ikut kadar pada waktu itu. Banyak juga perbezaannya untuk tempoh enam malam kami di sana. Kebanyakan penginapan yang kami ambil terletak di pinggir bandar kerana kami memandu di sana jadi tak ada masalah fasal lokasinya. Boleh dikatakan semua hotel yang kami ambil mempunyai kemudahan dapur untuk memasak. Siap bawa kuali dan periuk dari Malaya. Kami tak makan di luar walau sekali pun di sana!!!

Boarding pass yang senipis kertas A4.

Tiket penerbangan dibeli sewaktu pelancaran AAX ke Auckland. Jadi dapatlah tiket yang agak berpatutan untuk jarak perjalanan lebih sepuluh jam itu. Apa yang lecehnya ialah penerbangan ini kena transit di Gold Coast. Segala barang yang dibawa masuk ke kapal terbang perlu dibawa turun untuk di imbas sekali lagi di Coolangata Airport, Gold Coast. Masa transit cuma satu jam sahaja. Jadi selepas saja selesai melalui kastam kita akan terus berbaris untuk naik ke kapal terbang semula. Rasa macam proses yang tak perlu dan menyusahkan. Satu lagi tak bagusnya transit ini ialah bagasi kita dicaj sebanyak dua kali. Maknanya kita terpaksa membayar empat kali untuk penerbangan pergi balik. Kami ambil yang 25 kg dan cajnya lebih RM300. Untuk penerbangan sejauh ini jangan lupa untuk membuat tempahan makanan dua kali untuk pergi dan balik supaya tidak kebuluran di atas sana. Untuk makanan kami bawa barang yang seperti yang banyak blogger lain syorkan kecuali barang yang ada kaitan dengan daging, telur, susu dan madu. Senaraikan saja barang makanan yang kita bawa dan tak perlu sebut ramuannya bagai. Jika barang tu ada dalam bagasi, keluarkan semuanya dan masukkan ke dalam satu beg supaya memudahkan kerja dan tak perlulah kita nak membongkar bagasi kita di depan kakitangan kastam di sana. Semua barang produk komersil memang tak ada masalah kecuali yang home made. Jika diperhatikan kastam di NZ agak lebih longgar berbanding di Australia.

Best kalau dapat naik Emirates Airbus A380 ni. Ada dua buah di kawasan airport ini.

Keluar dari Auckland airport memang dah tak fikir lain mode pengangkutan yang kami nak ambil kecuali teksi sebab kami berempat. Jadi agak lebih menjimatkan. Selamat sampai di Empire Apartment, Whitaker Place dengan tambang NZ$60.

Hampir jam tujuh malam tapi keadaan masih terang. Yang bagusnya pada waktu ini siangnya agak panjang. Masuk maghrib pada jam lapan malam.

 Sebahagian bandar Auckland dari tingkap apartment kami.

Selesai makan dan segala urusan yang sepatutnya, kami keluar meronda sekejap. Untuk pengetahuan bandar Auckland ini adalah bandar yang berbukit-bukit. Perlukan sedikit stamina lebih-labh lagi apartment terletak di kawasan berbukit. Tapi udara yang nyaman buat kita tak rasa penat. Destinasi utama ialah cari pasar raya Countdown Metro yang terletak di Victoria Street West untuk mencari bahan keperluan masakan.  Pasar raya di NZ terutama Countdown ditutup pada jam sebelas malam.


 Tak jauh dari The Sky Tower.

source : http://mymiee.blogspot.co.id/2016/11/kia-ora-north-island-new-zealand-pt-1.html

Tidak ada komentar:

Posting Komentar